Wednesday, April 29, 2009

HAWA BACALAH

*Khusus untuk renungan dan hisbah semua, semoga Allah meletakkan secebis hidayah-Nya ke dalam hati kita.

--------------------------------------

Hawa,

sedarkah engkau sebelum datangnya sinaran iman? Dizalimi, dicerobohi, ditanam hidup-hidup, tiada penghormatan walau secebis oleh kaum adam, tiada nilaian di mata mereka, engkau hanya alat untuk memuaskan hawa nafsu.

Tetapi kini, apabila rahmat al-Quran menyelubungi alam, apabila as-Sunah gemilang cahayanya, darjatmu diangkat, maruahmu dipelihara, dihargai dan dipandang mulia, sehingga tiada hiasan yang terbaik di dunia ini melainkan wanita solehah.

Wahai hawa,

kenapakah engkau tidak menghargai nikmat ini? Kenapa mesti engkau kaku dalam mentaati ajaran-Nya? Kenapa masih ngilu mengamalkan isi kandungannya dan kenapa masih was-was mematuhi perintah-Nya?

Wahai hawa,

tangan yang menggoncang buaian bisa menggoncang dunia. Sedarlah hawa kau bisa menggoncang dunia dengan melahirkan insan hebat persis para sahabat dan ahlul kitab. Kau bisa mengegarkan dunia dengan menjadi isteri yang taat serta memberi dorongan dan sokongan pada suami yang sejati dalam menegakkan Islam di mata dunia. Tetapi hawa, jangan sesekali kau cuba menggoncang keimanan adam dengan lembut tuturmu, dengan ayu wajahmu, dengan lengguk tubuhmu. Jangan kau menghentak-hentak kakimu untuk menyatakan kehadiranmu. Jangan hawa, jangan sesekali cuba menarik perhatian kaum adam yang bukan suamimu. Jangan sesekali mengoda lelaki yang bukan suamimu, kerana aku khuatir ia mengundang kemurkaan dan kebencian Allah. Tetapi memberi kegembiraan kepada syaitan.

Wahai hawa,

seandainya engkau masih muda remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibu bapanya. Seandainya sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suaminya. Seandainya seorang ibu, didiklah anakmu sehingga mereka tidak gentar untuk menjunjung titah perintah Allah jalla wa ‘ala di muka bumi-Nya.

Duhai hawa,

andai engkau belum berkahwin, janganlah risau akan jodohmu. Ingatlah bahawa janji tuhan, wanita yang baik untuk lelaki yang baik itu benar. Jangan menggadaikan maruah  semata-mata seorang lelaki, jangan disarung pakaian yang menampakkan susuk tubuhmu untuk menarik perhatian dan memikat kaum lelaki, hakikatnya bukan memancing hati tapi merangsang nafsunya. Jangan memulakan pertemuan dengan lelaki yang bukan mahram kerana aku khuatir dari mata turun ke hati, dari senyuman membawa ke salam, dari salam cenderung kepada pertemuan dan dari pertemuan takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.

Hawa,

lelaki yang baik tidak melihat pada paras rupa, tidak memilih wanita melalui keseksiannya, tidak menilai wanita melalui keayuaannya, kemanjaannya, serta kemampuannya mengoncang iman mereka. Tetapi hawa, lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlak, peribadi, dan ad-dinnya. Lelaki yang baik tidak menginginkan sebuah pertemuan dengan wanita yang bukan mahramnya kerana khuatir akan memberi kesempatan kepada syaitan untuk mengodanya. Lelaki yang warak juga tidak mahu bermain-main dengan cinta, kerana mengerti apakah matlamat sesebuah hubungan antara lelaki dan wanita, yakni perkahwinan.

Oleh itu hawa,

jagalah pandanganmu, jagalah pakaianmu, jagalah akhlakmu, kuatkanlah pendirianmu. Andai kata ditakdirkan tiada cinta daripada adam untukmu, cukuplah hanya cinta Allah yang menyinari dan memenuhi jiwamu. Biarlah cinta kedua ibu bapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu, dan cukuplah sekadar cinta keluarga yang akan mewarnai hidupmu.

Hawa,

cintailah Allah dikala susah dan senang kerana dengan taufik dan inayah-Nya, kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai Allah, cintailah ibu bapamu, disinilah letaknya keredaan Allah.

Hawa ,

ingatanku yang terakhir, biarlah tangan yang menggoncang buaian ini bisa menggoncang dunia dalam mencapai keredaan ilahi, dan jangan dibiarkan ianya menggoncang keimanan kaum Adam ‘alaihissalam, kerana aku sukar menerimanya dan aku benci mendengarnya.



P/S:petikan dari Halaqah.net

SIAPA SAYA

My photo
Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Malaysia
Puteri sulung dan tunggal kepada Encik Hamali dan Puan Munirah. ::TASKI ABIM:: ::SEK KEB TASEK GELUGOR:: ::SEK MEN SAINS RAJA TUN AZALAN SYAH(SERATAS):: ::ALLIED HEALTH SCIENCES, CFSIIUM:: :: BACHELOR OF DIETETICS IIUM '11-'15
SAYA SAYANG ANDA SEMUA KERANA ALLAH

MEREKA KATA....

Get widget here

Blog Archive