Sunday, May 16, 2010

nak jadi isteri kedua ana tak??

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Faris tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Maryam merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Maryam dengan suara tersekat-sekat.

Mata Faris liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Maryam. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Maryam mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Maryam dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Maryam semakin tinggi, setinggi egonya.

Faris diam seribu bahasa. Dia sudah tahu 'Maryam' sebenar di sebalik Maryam yang dia kenal selama ini. Maryam bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Faris seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Faris muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Faris, sekecil pandangannya terhadap Maryam.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Faris sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Faris berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Faris dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Maryam terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Faris. Bagi Maryam, Faris seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Faris melamarnya menjadi isteri kedua. Faris masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Maryam nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Maryam, namun sikap Maryam yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Faris tersebut.

Bagi Maryam, Faris tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Faris berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Faris semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Faris – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Faris

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Faris dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Faris sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Faris menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Maryam atau tidak? Faris bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Faris berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Faris mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Maryam.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Faris tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Faris menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Faris.


"Kenapa saya?" tanya Faris ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Faris tersenyum.
Akhirnya, Faris dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Faris terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Faris semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Faris membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Faris. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Faris sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Faris menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Faris dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Faris yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Faris aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Faris membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Faris berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Faris menuding jari ke arah khemah tersebut

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Faris.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Faris tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Faris.

***************

Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!
Jika dirimu bakal seorang isteri…

Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!

Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…

Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…

Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.

Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…


Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!

Saturday, May 8, 2010

DULU ARWARYARHAM AMINUL RASYID....SEKARANG MOHD AZIZI PULAK...

Lagi remaja ditembak, konstabel digantung tugas

Seorang konstabel polis digantung tugas dan ditahan selepas didakwa menembak remaja remaja berusia 17 tahun yang enggan memberhentikan motosikalnya ketika dikejar kereta peronda di persimpangan Kampung Ujong Pasir, Jalan Seremban-Jelebu, 3.30 pagi tadi.

Anggota polis itu dipercayai baru berkhidmat kira-kira setahun. Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, anggota polis berkenaan digantung tugas serta merta kerana melepaskan tembakan tanpa sebab kukuh dirinya terancam.

“Saya menganggap kejadian ini sebagai kesalahan menggunakan kuasa. Saya kesal dengan insiden ini kerana anggota terbabit telah menembak tanpa justifikasi yang telah ditetapkan oleh Ketua Polis Negara. Saya juga ingin meminta maaf kepada pihak keluarga mangsa," katanya.

Cedera parah


Pada kejadian itu, Mohd. Azizi Aziz, 17 cedera parah di bahagian perut setelah terkena tembakan yang dilepaskan seorang anggota polis keran enggan berhenti.

"Berikutan itu, polis telah melepaskan satu das tembakan dan kena pada bahagian perut sehingga tembus ke bahagian usus," kata Osman kepada pemberita.

Mangsa yang dipercayai berasal dari Senawang itu menjalani pembedahan di perut dan usus kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

Os
man berkata mangsa dalam satu kumpulan kira-kira 20 orang yang menaiki motosikal berhampiran sebuah pasaraya di Jalan Datuk Siamang Gagap dan kumpulan itu berpecah apabila terserempak dengan sebuah kereta peronda polis, manakala angsa melarikan diri arah Jalan Seremban-Jelebu.

"Anggota polis yang melepaskan tembakan ini mendakwa dia melepaskan tembakan amaran tetapi dalam keadaan kereta yang laju dan mangsa juga menunggang motosikal secara bahaya.

"Satu das tembakan telah dilepaskan dan selepas kira-kira dua kilometer baru mangsa dapat ditahan dan mendapati mangsa terkena tembakan di bahagian perut."

Mengulas kejadian itu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang ditemui Bernama ketika merasmikan lapang sasar polis bantuan Felda di Felda Bukit Rokan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bertolak ansur dalam kes tersebut.

"Bagi kita, perkara ini sangat serius. Kita akan meneruskan dengan siasatan dahulu. Kalau anggota polis terbabit terbukti bersalah, kita akan mengambil tindakan mengikut prosedur yang diperuntukkan.

"Dalam kes ini kita masih menyiasat dan buat masa ini anggota polis terbabit telah ditahan kerja," katanya.

Bapa terkilan


Abu Seman turut melawat mangsa di HTJS. Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk melihat keadaan mangsa.

Turut hadir Osman dan dua anggota exco kerajaan negeri Datuk Ismail Lasim dan Datuk Ismail Taib.

Sementara itu, Bernama melaporkan ayah mangsa, Aziz Omar, 42, berkata beliau sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

"Saya dihubungi pihak hospital pada pukul 4.20 pagi tadi yang menyatakan anak saya mengalami kecederaan dan kini berada di hospital. Saya kemudian bergegas ke hospital dan baru mendapat tahu bahawa anak saya cedera ditembak polis.

"Dalam hal ini saya amat terkilan kerana yang menghubungi saya adalah pihak hospital tapi mengapa tidak polis. Mohd Azizi adalah anak sulung daripada enam orang adik beradik," katanya.


http://malaysiakini.com/news/131300

SIAPA SAYA

My photo
Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Malaysia
Puteri sulung dan tunggal kepada Encik Hamali dan Puan Munirah. ::TASKI ABIM:: ::SEK KEB TASEK GELUGOR:: ::SEK MEN SAINS RAJA TUN AZALAN SYAH(SERATAS):: ::ALLIED HEALTH SCIENCES, CFSIIUM:: :: BACHELOR OF DIETETICS IIUM '11-'15
SAYA SAYANG ANDA SEMUA KERANA ALLAH

MEREKA KATA....

Get widget here

Blog Archive