Tuesday, June 8, 2010

AKU TERIMA LAMARAN INI.....


Salam buat semua sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian. Moga diri kalian semua sentiasa dalam rahmat dan redha Ilahi. Ameen. Maaf atas segala kekhilafan diri yang telah membuatkan sahabat-sahabat sekalian ternanti-nanti posting terbaru dari ana. Diri ini hanya merancang namun Allah yang menentukan. Posting terbaru ana ni, nak menceritakan sedikit pengalaman dan kisah ana dilamar. Ini semua buat tasji' kepada sahabat-sahabat ana yang juga dilamar. Moga kita tabah dan sabar dalam menghadapi proses ini. Harap semua pembaca dapat berlapang dada sepanjang membaca posting ini.


Lamaran pertama diterima semenjak di sekolah menengah lagi. Masa itu diri ana masih dalam kategori kanak-kanak. Belum matang lagi dalam segala-galanya. Namun alhamdulillah, ada akak-akak yang sudi membantu diri di sepanjang proses lamaran ini. Banyak nasihat yang akak-akak berikan membuatkan diri ini rasa cukup dihargai sepanjang proses yang mencabar ini.

Pelbagai skill untuk memantapkan diri dipelajari bagi memastikan si dia yang melamar mendapat yang terbaik. Tempoh masa ini sangat menguji iman di hati. Syaitan sering kali cuba menyelit masuk ke dalam jiwa bagi membuat onar di sepanjang tempoh lamaran ini. Namun alhamdulillah cuba ditepis sebaik mungkin. Bantuan dari akak-akak tersayang cukup membuatkan diri ini sabar dalam menempuh dugaan yang datang.

Alhamdulillah, lamaran dari si dia diterima. Pertunangan berlangsung. Makin banyak tanggungjawab di pikul. Tanggungjawab untuk menambahkan lagi ilmu di dada bagi memastikan hubungan yang dibina kukuh selamanya dan berjalan dalam biah yang terbaik.

Selesai di sekolah menengah, ana melangkah ke UIA. Masa itu hanya Allah yang tahu. Hubungan antara kami kian renggang. Kekhilafan diri ini sebenarnya. Ana mencari si dia namun masih belom berjumpa.Hanya Allah tempat ana mengadu mohon di kuatkan hati bagi melalui ujian dari Ilahi. Akak-akak senior di SERATAS dahulu terus dicontact bagi melahirkan rasa sedih di hati dan bagi mendapatkan sedikit kata-kata nasihat.

Alhamdulillah,mereka cepat-cepat memaklumkan kepada sahabat-sahabat mereka di UIA untuk nasihatkan dan tengok-tengokkan ana. Mereka tak mahu ikatan yang dibina terputus begitu sahaja. Tempoh pertunangan mengambil masa lebih kurang satu tahun. Berakhirnya Semester 2 di UIA, ana dan si dia diijabkabulkan dalam satu majlis yang pada mulanya ana tak tahu tujuan asalnya.

Masa itu terasa betul-betul satu tanggungjawab besar di bahu ana. Masa itu ana sedar, segalanya buat si dia. InsyaAllah akan ana cuba untuk menjadi yang terbaik. Kadang-kadang diri bermonolog, "Kalaulah dari dulu ku kenal si dia, akan ku cepatkan perkahwinan ini". Mulanya memang terasa sangat takut untuk terima tanggungjawab baru ini. Namun teringat kata-kata seorang sahabat,Allah bagi apa yang kita PERLU bukan Allah bagi apa yang kita MAHU.

Kini diri ini kian serasi dengan tanggungjawab dan status baru yang Allah beri. Ramai yang tersenyum di awal perkahwinan namun tak ramai yang akan kekal hingga ke akhir. Diri ana berazam akan terus tersenyum di samping si dia hingga ke syurga. Tak dinafikan banyak mehnah dan tribulasi dalam perkahwinan ini disamping kesibukan belajar. Namun ini yang perlu bijak ana aturkan. Antara si dia dan pelajaran serta urusan dunia. Semua ada kepetingan tersendiri. Namun ana lebih pentingkan si dia dari segalanya.

Terima kasih ya Allah atas si dia yang telah Kau kurniakan buat diriku. Moga dirinya membolehkanku melangkah hingga ke syurga. Ameen....Buat sahabat-sahabat yang baru dilamar, mantapkan diri untuk melangkah ke fasa baru. Dengan susunan kerja yang teratur, akan membuatkan segalanya berjalan lancar. Jangan takut, si dia yang terbaik buat kita. Allah juga sentiasa bersama kita....





p/s: Salam sayang buat suami pertama ku......PERJUANGAN.....posting ini untuk dirimu. Moga diriku sentiasa bersamamu....

SIAPA SAYA

My photo
Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Malaysia
Puteri sulung dan tunggal kepada Encik Hamali dan Puan Munirah. ::TASKI ABIM:: ::SEK KEB TASEK GELUGOR:: ::SEK MEN SAINS RAJA TUN AZALAN SYAH(SERATAS):: ::ALLIED HEALTH SCIENCES, CFSIIUM:: :: BACHELOR OF DIETETICS IIUM '11-'15
SAYA SAYANG ANDA SEMUA KERANA ALLAH

MEREKA KATA....

Get widget here

Blog Archive