Wednesday, June 24, 2015

RAMADHAN: ASK THE DIETITIAN

RAMADHAN: ASK THE DIETITIAN

Salam,

Saya nak tanya. Macam mana seeloknya kita berbuka puasa? Kena makan nasi dulu ke? Minum air dulu ke? Nak mintak kongsikan sedikit tips pemakanan sewaktu berbuka puasa :) boleh?

***********************************************

Waalaikumussalam WBT,
Terima kasih kerana bertanya. Apa pulak tak bolehnya. InsyaAllah boleh. :)

Berbuka puasa adalah masa yang sangat kita nanti-nantikan setelah seharian berpuasa. Pada masa inilah, nafsu dan selera makan kita semakin membuak-buak. Tengok semua makanan rasa sedap kan? :) 

Beberapa TIPS untuk berbuka puasa saya kongsikan untuk sahabat-sahabat pembaca semua :) InsyaAllah mari kita amalkan. Moga-moga, makanan yang kita ambil semasa berbuka, mampu menguatkan kita untuk kita beribadah pada malam hari :)

TIPS BERBUKA PUASA/IFTHAR:

1. Pilih makanan yang dimasak dengan cara yang lebih sihat. 
Elakan mengambil makanan yang bergoreng terlalu kerap.
Contoh cara masakan yang lebih sihat:
-makanan yang dibakar (ayam bakar, ikan bakar, udang bakar, dll)
-makanan berkuah yang menggunakan minyak yang sedikit (sup, tomyam, asam pedas, singgang, dll)
-makanan yang direbus
-makanan yang distim
-dll

2. Ingat pinggan sihat anda! (Rujuk gambar)
-CARBOHYDRATE: 
1/4 dari pinggan, adalah sumber carbohydrate atau kanji seperti nasi, roti, bihun, mee, ubi, oat dan lain-lain. Kawal sumber carbohydrate anda. Jangan ambil secara berlebihan.
-PROTEIN:
1/4 dari pinggan, adalah dari sumber protein seperti ayam, ikan, daging, telur, tauhu dan lain-lain. Pilihlah ikan berbanding daging yang lain, kerana ikan memiliki kandungan lemak yang lebih sedikit berbanding sumber protein yang lain. Kuantiti protein yang diambil juga, perlu dikawal agar tidak berlebihan agar tidak membebankan buah pinggang kita.
-FIBER/SERAT:
1/2 dari pinggan kita, harus datang dari sumber fiber atau serat seperti sayur-sayuran hijau dan buah-buahan. 

3. Elakkan membazir.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."
(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Sunnah Ketika Berbuka Puasa:

1. Segerakan berbuka.
“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

2. Berbuka dengan 1-2 biji buah tamar.
“Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.”

3. Digalakkan untuk menunaikan solat fardhu Maghrib terlebih dahulu.

4. Bersederhanalah dalam berbuka. Jangan berlebih-lebih hingga membazir. 
Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.
(Surah al-`Araf:31).

5. Ambil peluang berdoa semasa menunggu untuk berbuka. 
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”
(Riwayat Ibn Majah)

Moga Ramadhan kali ini, menjadi Ramadhan yang terbaik buat kita :)
Ramadhan Kareem!

Nur Najwa Hamali
Bachelor of Dietetics (hons.)
International Islamic University Malaysia

sumber gambar: http://www.meat-ims.org/nutrition-and-health-public-resources

Saturday, June 20, 2015

RAMADHAN: ASK THE DIETITIAN

RAMADHAN: ASK THE DIETITIAN
Ramadhan Mubarak!!!
Hari ni saya nak kongsikan satu resepi untuk berbuka puasa. InsyaAllah sihat dan sedap.
KARI IKAN
Bahan-bahan:
Jintan Manis
Ketumbar
Daun kari
Bawang besar (dihiris)
Serbuk kari ikan-3 sudu besar (bancuh dengan air)
Cili kering-dikisar
Bawang merah-dikisar
Bendi
Ikan
Air asam jawa
Garam gula
Cara-cara masak
1. Panaskan minyak. (Guna sikit saja untuk menumis)
2. Tumis jintan manis, ketumbar, daun kari dan hirisan bawang besar. (Tumis ikut turutan)
3. Masukan bawang merah yang dikisar dan tumis hingga keemasan.
4. Masukan cili kering yang dikisar dan masak hingga garing.
5. Masukan bancuhan serbuk kari dan masak hingga garing/kering.
6. Campur air asam jawa dan tambah air. Biarkan hingga mendidih.
7. Bila dah mendidih, masukan garam dan gula secukup rasa.
8. Masukkan ikan hingga masak.
9. 3 minit sebelum tutup api, masukan bendi.
10. Hidangkan smile emoticon


Alhamdulillah. Senangkan? Kari ni ala-ala kari India sebab tak guna santan. So, kita dah boleh sediakan juadah yang lebih sihat untuk seisi keluarga berbuka puasa hari ini. Bagi yang tak pernah cuba, silakan mencuba.
P/s: gambar kari yang dimasak pukul 3 petang tadi. Rahsia kari, makin kerap panaskan, making sedap. Sebab rempah dia makin sebati smile emoticon
-Jangan jadikan Ramadhan bulan untuk kita meraikan nafsu makan-
Najwa hamali
Bachelor of Dietetics (hons)

Thursday, June 18, 2015

Soul for RAMADHAN

By: Ust Nouman Ali Khan

Juz 1, surah 2, verse 67

2:67

And [recall] when Moses said to his people, "Indeed, Allah commands you to slaughter a cow." They said, "Do you take us in ridicule?" He said, "I seek refuge in Allah from being among the ignorant."

Wednesday, June 17, 2015

RAMADHAN: ASK THE DIETITIAN

RAMADHAN: ASK THE DIETITIAN
Salam,
Bagaimana nak mengelak rasa terlalu dahaga semasa berpuasa?
**********************************************************************************
Waalaikumussalam WBT,
Terima kasih kerana bertanya.
Badan kita akan kekurangan air kerana beberapa faktor. Antaranya adalah:
1. Kita kurang minum air
2. Makan makanan yang tinggi garam (makanan yang diproses, makanan dalam tin, dll)
3. Membuat aktiviti yang menghasilkan peluh yang berlebihan.
Bagi mengelakkan rasa terlalu dahaga semasa berpuasa, insya-Allah ada dua tips yang boleh dikongsikan bersama.
1. Minum air masak yang mencukupi
Pastikan anda minum air masak yang mencukupi bermula dari waktu berbuka puasa hinggalah ke waktu bersahur. Sekurang-kurangnya 8-10 gelas air masak. Tiada masalah untuk anda mengambil air masak yang berlebihan. Ia akan membantu anda mengawal rasa lapar dan jangan risau, air masak tidak menyumbang calorie kepada pemakanan anda.
2. Kurangkan mengambil makanan yang tinggi garam
Makanan yang tinggi garam seperti Maggie, makanan yang diproses, makanan dalam tin, sos, kicap dan lain-lain akan meninggikan kandungan garam dalam darah anda dan menarik air keluar dari badan. Kerana itu apabila anda mengambil makanan-makanan tersebut, badan anda akan cepat berasa dahaga.
Untuk berpuasa, elakkan mengambil makanan-makanan tersebut. Gantikan dengan makanan yang lebih sihat dan segar yang dibuat sendiri. Untuk memasak, kurangkan pengambilan garam terutamanya ketika bersahur.
Peringatan:
Tips ini adalah untuk orang yang normal tanpa apa-apa penyakit seperti darah tinggi, jantung dan sebagainya. Jika andai mempunyai sebarang penyakit, boleh bertanya dengan lebih lanjut kepada pegawai dietetik.
Sebarang persoalan berkaitan pemakanan/diet semasa RAMADHAN, boleh PM kepada saya smile emoticon
Najwa Hamali
Bachelor of Dietetics (Hons.)
International Islamic University Malaysia

Saturday, June 6, 2015

RAMADHAN: ASK THE DIETITIAN

RAMADHAN: ASK THE DIETITIAN
Salam Sis,
Sewaktu berpuasa, saya cepat sangat rasa lapar. Kadang-kadang dalam pukul 10 pagi dah mula rasa lapar. Sahur saya makan. Tak pernah terlepas sahur. Wajib makan!! Huhuhu... Ada tips tak sis macam mana hilangkan rasa lapar? cry emoticon
*****************************************************************************************************************
Waalaikumussalam WBT,
Terima kasih kepada yang bertanya smile emoticon
Menjadi satu lumrah apabila kita berpuasa, kita akan rasa lapar. Maksud atau pengertian puasa itu sendiri sudah menjelaskan.
"Menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari beserta niat."
Selama ini setiap masa perut kita menerima makanan, tapi tiba-tiba masuk ke dalam bulan Ramadhan, perut di kosongkan sebentar. Dan dalam keadaan itu, badan kita menghantar signal kepada otak memberitahu bahawa kita perlukan makanan, dan kita berasa lapar.
Sedikit tips insyaAllah saya kongsikan buat semua bagaimana memastikan sahur yang kita ambil dan makan, mampu mengurangkan rasa lapar kita hingga saat berbuka puasa.

TIPS BERSAHUR
1. Ambil hidangan yang lengkap
Hidangan yang lengkap terdiri daripada sumber kanji (carbohydrate), protein dan juga serat (fiber). Semasa bersahur, pastikan hidangan anda mempunyai ketiga-tiga nutrient ini. Setiap nutrient ini perlu diambil mengikut kuantiti yang disarankan untuk manjadikannya sebagai satu hidangan lengkap yang sihat.
Bayangkan pinggan anda (boleh rujuk gambar). Satu per-empat dari pinggan anda, haruslah datang dari sumber kanji (carbohydrate) seperti nasi, mee, mee hoon, roti, bubur dan lain-lain lagi. Satu per-empat lagi dari pinggan anda, adalah dari sumber protein seperti ayam, ikan, daging, telur, tempe dan lain-lain. Separuh lagi dari pinggan anda, haruslah datang dari sumber serat (fiber) seperti sayur-sayuran hijau dan buah-buahan.
2. Lebihkan pengambilan makanan tinggi serat(high fiber)
Serat merupakan makanan yang mampu memberikan rasa kenyang yang lama kepada badan kita. Apabila kita mengambil makanan yang tinggi serat, serat-serat tersebut akan berkumpul di dalam perut kita dan memberi signal kepada otak bahawa perut kita telah penuh dan kita perlu berhenti makan. Serat akan berkumpul dan lambat untuk dihadamkan dan menyebabkan kita berasa kenyang dalam masa yang lama.
Contoh makanan tinggi serat:
-Sayuran hijau
-Buah-buahan (jika buat jus jangan ditapis!!)
-Roti gandum penuh (wholemeal bread)
-Beras perang
-biskut tinggi serat (high-fiber cream crackers)







3. Minum air masak yang mencukupi
Pastikan semasa sahur, kita mengambil air masak yang mencukupi bermula dari waktu berbuka puasa. Cukupkan 8-10 gelas bagi mengelakkan badan kita kekurangan air. Badan kita mampu bertahan tanpa makanan untuk beberapa hari tapi jika badan kekurangan air, banyak sistem badan yang akan terganggu.
4. Pemilihan makanan yang sihat.
Kurangkan pengambilan makanan yang berminyak, bergoreng, bersantan dan tinggi garam sewaktu bersahur. Anda boleh mencuba pilihan yang lebih sihat seperti nasi putih biasa, makanan yang direbus, dibakar ataupun sup. Bukan tidak boleh untuk ambil makanan yang bergoreng, bersantan dan sebagainya. Tapi, KURANGKAN kepada seminggu, 1-2 kali sahaja. Makanan yang terlalu tinggi garam boleh menyebabkan badan kehilangan air.
5. Lewatkan sahur
“Ummatku selalu dalam kebaikan selagi mensegerakan berbuka dan mengakhirkan (melambatkan) sahur” -HR Ahmad
Zaman kini, kita sering ambil mudah akan semua perkara. Sahur umpamanya. Ramai antara kita yang malas untuk bangun sahur dan akan ambil 'sahur' seawal pukul 12 tengah malam sebelum tidur. Pengambilan sahur yang terlalu awal akan menyebabkan badan kita berada dalam keadaan berpuasa dalam tempoh yang lebih lama. Akibatnya, badan akan cepat berasa lapar.
Mari untuk Ramadhan kali ini, kita berusaha lewatkan sahur. Disamping dapat mengurangkan tempoh untuk badan kita berpuasa, insyaAllah kita beramal menghidupkan sunnah Nabi. Moga ada keberkatan sepanjang kita berpuasa. smile emoticon

Contoh menu bersahur:
*Nasi putih + (lauk lebihan semalam) + ulam dan buah + 1-2 gelas air masak
*Sandwich ayam + salad + 1-2 gelas air masak
*Kurma 2-3 biji + susu (insyaAllah merangkumi semua nutrient)







jika ada sebarang peroalan berkaitan DIET DURING RAMADHAN, boleh PM saya
smile emoticon

Friday, June 5, 2015

RAMADHAN: ASK THE DIETITIAN



RAMADHAN: ASK THE DIETITIAN

Salam sis. Maaf mengganggu. Nak bertanya, apakah persediaan yang seharusnya kita lakukan bagi menghadapi bulan Ramadhan dari aspek pemakanan?


*********************************************************************************


Waalaikumussalam 
smile emoticon
Terima kasih kepada yang bertanya.

Satu analogi saya beri. Apabila mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke university, pelbagai persiapan yang kita lakukan. Ada yang bekerja, untuk menampung yuran pendaftaran. Ada yang memborong kain berela-ela, untuk dijadikan pakaian baru. Ada yang membuat kenduri kendara, untuk meraikan kesyukuran diterima masuk ke university.
Andai saat kita nak melangkah masuk ke university dunia, persiapan rapi kita sediakan, inikan pulak persiapan untuk masuk ke bulan Ramadhan, bulan yang mendidik diri, bulan tarbiyyah.
Bulan Ramadhan bulan ibadah. Bagi memastikan badan kita sihat dan bertenaga untuk beribadah, ada beberapa persediaan yang kita boleh lakukan.

Persediaan untuk melangkah masuk ke bulan Ramadhan:

1. Berlatih berpuasa


Selama berbulan-bulan perut kita disuapkan dengan pelbagai jenis juadah dan makanan, pastinya sedikit latihan perlu diberikan sebelum masuk ke bulan Ramadhan. Berlatih dengan berpuasa sunat. Anda boleh berpuasa Isnin dan Khamis, berpuasa di dalam bulan Rejab dan Sya'ban. Di samping melatih perut sebelum menghadapi 30 hari berpuasa, insyaAllah dapat kejar pahala juga 
smile emoticon
Puasa sunat juga ibarat memberi warning kepada perut kita bahawa mereka perlu bersedia untuk menghadapi fasa berpuasa. Cubalah berpuasa sunat, insyaAllah perut anda tidak akan terkejut apabila melangkah masuk ke bulan Ramadhan.

2. Berlatih amalkan pemakanan yang sihat

Setiap hari asyik makan makanan bergoreng, bersantan sahaja kan? Jom kita ubah kepada menu yang lebih sihat. Kena bermula dari sekarang. Kalau semasa Ramadhan baru nak berubah, orang pantai timur kata 'dok jadi'. Practice makes perfect!
Berlatih kurangkan makanan yang bergoreng, kurangkan makanan yang bersantan. Tukar kepada makanan yang bakar, panggang, sup, singgang, kukus dan lain2 menu yang lebih sihat. InsyaAllah, jika perut kita dah dibiasakan dengan menu yang sihat, InsyaAllah dalam bulan Ramadhan nanti senang saja nak kawal nafsu pemilihan makanan.

Ingat! Ramadhan bulan Ibadah. Berazam dari sekarang, kita nak jaga pemakanan, supaya badan kita sihat dan bertenaga untuk kita beramal ibadah.

“Hai anak Adam, kenakan pakaianmu yang indah disetiap memasuki masjid, makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang belebih-lebihan.” (Al-'Araf: 31)

Hospital Diary-18

Hospital Diary-18
Doakan kami semua future part time dietitian to-be dan full time daie for ummah.
Esok insyaAllah paper pertama dan terakhir kami untuk semester ini dan before grad. Doakan agar Allah permudahkan urusan kami, dilembutkan hati kami, diberi ketenangan dan ilham kepada kami smile emoticon
Menjelang exam, pastinya study group kami cukup meriah smile emoticon
Ada yang tanya, kenapa buat study group, sharing2? Nanti yang dah pandai tu makin pandai dan makin scorelah dalam exam...
smile emoticon smile emoticon smile emoticon
Kami Al-Fateh (dietetics gen 8) adalah satu keluarga. Susah senang sama-sama. Nak grad pun sama2. Nak masuk syurga 


RAMADHAN: ASK THE DIETITIAN

RAMADHAN: ASK THE DIETITIAN





Apakah menu sihat untuk ibu mengandung 3rd trimester sewaktu bersahur dan berbuka?
**********************************************************************************************
Terima kasih kepada yang bertanya smile emoticon,

Third trimester merupakan fasa yang terakhir sebelum si khalifah kecil muncul ke dunia. Pada fasa ini, ibu memerlukan tenaga yang lebih untuk tumbesaran bayi di dalam kandungan dan juga untuk mempersiapkan bayi untuk lahir ke dunia.
Bulan Ramadhan mungkin sedikit mencabar buat ibu-ibu yang sedang mengandung terutamanya bagi yang sudah berada di fasa terakhir. Jika mampu berpuasa, teruskan. Anda boleh berlatih untuk berpuasa sebelum bulan Ramadhan, supaya badan bersedia dan mampu memberi kerjasama sepanjang berpuasa di bulan Ramadhan.

Sedikit tips dan menu untuk berbuka dan sahur:

1) SAHUR
Jangan sesekali terlepas untuk bersahur. Makanan sewaktu bersahur haruslah lengkap dan seimbang yang mengandungi sumber kanji (nasi, roti, biskut, meehoon, dll), protein (ayam, ikan, tauhu, telur, dll) dan juga serat (sayur dan buah). Kuantiti setiap hidangan, boleh rujuk pada gambar MY PLATE yang saya sertakan sekali. Lewatkanlah sahur iaitu sebelum imsak untuk mengelakkan waktu perut kita berpuasa yang terlalu panjang jika sahur diambil terlalu awal.

MENU:
*Sandwich ayam/ikan + salad + 1-2 gelas air masak [disarankan untuk ambil roti bergandum penuh kerana kandungan serat yang lebih tinggi dan lebih mengenyangkan]
*Lebihan nasi atau makanan berbuka puasa semalam + sayur dan buah + 1-2 gelas air masak
(menu ikut citarasa sendiri, nak western boleh, nak cuisine pun boleh smile emoticon )

2) BERBUKA/ IFTHAR
Jangan lewatkan waktu berbuka. Amalkan sunnah berbuka dengan 1-2 biji buah kurma terlebih dahulu bersama air masak 1-2 glass. InsyaAllah anda akan kenyang. Makanan utama boleh diambil selepas solat maghrib. Sepertimana sahur, makanan utama untuk berbuka juga haruslah lengkap dan seimbang.

MENU:
Mulakan dengan 1-2 gelas air masak terlebih dahulu. InsyaAllah anda akan berasa kenyang dan tidak akan terlebih makan.
*Nasi putih + ayam/ikan bakar + air asam + ulam + buah-buahan 1-2 gelas air masak
*Nasi ayam + ulam + Buah-buahan + 1-2 gelas air masak
*Bihun sup (Selalunya sayur tak banyak, jadi boleh sediakan salad) + buah-buahan +1-2 gelas air masak
*Chicken Burrito (Roti pita + ayam yang dipanggang+ salad dan tomato) + buah-buahan + 1-2 gelas air masak

3) Moreh/Supper
Jika terasa lapar selepas Tarawikh, boleh ambil sedikit makanan untuk supper.
*kuih apam kukus 1-2 keping
*pau ayam 1 biji
*bihun sup (1 mangkuk kecil)
*roti gandum penuh 1-2 keping
*biskut tawar 3-6 keping

p/s: contoh menu-menu ini adalah untuk ibu yang hamil tanpa sebarang komplikasi seperti berat badan berkurang/terlebih, kencing manis semasa mengandung, darah tinggi, kurang sel darah atau komplikasi-komplikasi yang lain. Bagi ibu-ibu yang mengalami komplikasi, disarankan berjumpa dengan pagawai dietetik untuk nasihat yang lebih mendalam smile emoticon
Ahlan-ahlan Ya Ramadhan!!!
Ramadhan bulan untuk menggemukkan PAHALA, bukan menggemukkan BADAN.


Tuesday, May 26, 2015

Hospital Diary-17




Hospital diary kali ini khusus untuk insan-insan yang banyak berjasa kepada saya dan sahabat-sahabat saya sepanjang kami berpraktikal di mana-mana hospital.

Bila terkenang kenangan pertama kali kami ‘dilepaskan’ oleh UIA untuk bertebaran membawa diri masuk ke dalam hospital, pastinya setiap daripada kami ada cerita yang tersendiri. Berada di dunia yang sebenar cukup berbeza dengan dunia yang kami bina selama ini. Pada waktu itu, kami berjumpa dengan dunia baru dan diserahkan kepada ‘ibu dan ayah’ yang baru. Ada yang sudah mengalirkan air mata seawal hari pertama berada di hospital. Dan ada yang mampu bertabah dan bertahan hingga ke akhir garisan penamat. J


JJJ IBU DAN AYAH YANG BARU JJJ


Masuk ke alam clinical, kami diserahkan kepada dietitian-dietitian hospital. Ada yang garang. Ada yang baik. Ada yang tersangat penyayang. Ada yang persis seorang kakak. Ada yang berperwatakan seperti seorang ibu dan ayah.

Hari pertama di hospital, terasa macam tidak berpijak di Bumi, tapi tercampak jauh di planet Marikh. Segala-galanya asing dan terasa macam orang bodoh yang tidak tahu apa-apa, walaupun hakikatnya ada perkara yang dah pernah belajar sebelum ni. Perasaan nak berdepan dengan dietitian hospital buat pertama kalinya satu perasaan yang susah nak digambarkan. Cukuplah kalau saya kata, perasaan itu mampu membuatkan malam sebelum itu badan menggigil demam.

Walaupun banyak perkara yang kami tak tahu, mereka sabar dengan kerenah kami. Ada yang sanggup balik lewat semata-mata untuk buat extra class dengan kami. Ada yang terlalu sibuk dengan urusan clinical dan admin, tapi berusaha untuk duduk sebentar dengan kami untuk mengajar kami. Ada yang memberi kata-kata motivasi dan semangat kepada kami bilamana level ketahanan diri dah hampir-hampir tersungkur ke bumi. Dan ada yang mengucapkan Selamat Hari Lahir apabila hari bersejarah itu tiba di saat kekalutan di hospital JJJ



Berperwatakan seperti mana pun mereka, mereka adalah GURU buat kami. Insan yang terlalu banyak jasa mereka dalam membentuk diri kami. Insan yang Allah kurniakan kesabaran yang sangat tinggi dalam diri mereka untuk mendidik kami.

Buat semua dietitian yang pernah mengajar dan mendidik saya dan sahabat-sahabat, jasa kalian terlalu banyak buat kami. Tak tahu dengan cara apa kami boleh membalasnya. Hanya doa yang mampu kami pohon dari Allah:

Agar Allah merahmati kamu, agar Allah meredhai hidupmu, agar Allah mempermudahkan urusanmu dan agar Allah mempertemukan kita lagi. Andai bukan pertemuan di dunia, aku bermohon dari Allah agar kita dipertemukan di syurga.



TERIMA KASIH GURUKU.


Saturday, May 23, 2015

Hospital Diary-16

Seorang sahabat lama saya message baru-baru ni. Bertanyakan tentang kondisi atoknya. Terlantar di rumah kerana stroke. Kini, kaum keluarga yang menjaga di rumah. Saya kagum dengan mereka, kerana bukan mudah untuk menjaga seorang pesakit stroke. Serba serbi perlu di jaga.

Kebiasaan pesakit stroke akan makan melalui tube. Dan susu yang sesuai sepatutnya perlu diberi mengikut kesesuaian setiap pesakit. Atok sahabat saya juga makan menggunakan tube. Baru-baru ini DR datang ke rumah untuk membuat pemeriksaan dan DR menyatakan bahawa pesakit sudah boleh diberi makanan biasa melalui tube. Pada awalnya atok sahabat saya menggunakan susu ENSURE, 6 scoops untuk setiap kali bancuhan, 6 kali satu hari. Tapi sekarang, sukatan tersebut di kurangkan kepada 3 kali sehari dan selebihnya di gantikan dengan susu Nespray dicampur dengan Milo.

Dan apa yang terjadi?

Hingga kini atok sahabat saya mengeluarkan najis yang sangat banyak dalam bentuk yang cair. Mungkin boleh dikatakan sebagai cirit-birit. Bak kata sahabat saya, penuh pampers dan kerap.

Apa yang lebih saya sedihkan adalah, sepanjang atok sahabat saya terlantar di Hospital, tidak pernah sekalipun dirujuk kepada pegawai pemakanan. Jadi, bagaimana dengan susu yang diterima? Semuanya daripada nurse. Ikut pada susu apa yang ada. Kalau ada ENSURE dapat ENSURE. Kalau ada NUTREN DIABETIK bagi NUTREN DIABETIK, kalau ada NUTREN FIBRE dapat NUTREN FIBRE. Mungkin hospital tersebut tak ada pegawai pemakanan? SALAH! Hospital tersebut ada pegawai pemakanan.

Saya tak bermaksud nak salahkan mana-mana pihak. Berada di hospital, hatta di mana-mana tempat sekalipun, kerjasama di dalam satu pasukan itu tersangat PENTING. Setiap individu di setiap posisi mempunyai kepakaran mereka yang tersendiri. Kerana itu di hospital kita ada doktor, nurse, farmasi, pegawai pemakanan, fisiology, pegawai x-ray dan ramai lagi. Kerana setiap daripada bidang tugas itu berbeza dan mempunyai kepakarannya yang tersendiri.

Point utama saya cukup jelas. Kepada para doktor sekalian (bukan semua), tolonglah turunkan sedikit ego-ego anda. Beri kepercayaan kepada team yang lain. Andai ada pesakit yang kritikal, mohon di rujukkan kepada pegawai pemakanan juga. Perlu diingat, berilah ubat yang terbaik atau rawatan yang terbaik tapi andaikata pesakit tidak mendapat tenaga yang mencukupi melalui pemakanan, tahap kesihatan mereka boleh menjadi lebih teruk lagi.

Mari kita implemenkan konsep ADIL., iaitu meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Berkerjalah sebagai satu pasukan demi untuk memberikan yang terbaik buat para pesakit.

Bekerja di hospital bukan untuk berbangga, tapi kita bekerja untuk berkhidmat dan kita bekerja untuk berbakti.

***

Salman Al Farisi, seorang ahli peperangan biasa. Sebelum berlakunya peperangan khandak, Salman bangun memberikan pendapat kepada Baginda Nabi SAW agar di bina ‘khandak’, di sekitar kawasan itu. Dan apa yang Baginda Nabi SAW lakukan, baginda meraikan dan menerima cadangan Salman. Indahnya akhlak seorang Nabi. Walaupun bergelar Nabi, mentadbir negeri namun Baginda tetap tunduk meraikan pandangan ahli yang lain.


Hospital Diary-15



Satu ketika dulu, hospital adalah tempat yang seboleh-bolehnya, saya akan elak untuk masuk walaupun sebagai seorang pelawat. Hakikatnya dulu, masuk saja ke dalam pagar hospital walaupun sebagai pelawat, jantung dah berdegup kencang. Melangkah sahaja kaki ke dalam wad, temperature badan terus naik dan bila balik saja ke rumah pasti akan demam selama seminggu.

Pada waktu itu, bau ubat saja dah boleh memeningkan apatah lagi saat melihat darah memang rasa nak pitam. Mungkin immune system pada masa itu terlalu lemah atau mungkin juga semangat pada waktu itu terlalu goyah. Hospital dan saya memang sangat tak kamceng satu ketika dulu. Dan kalau mendengar berita kematian, badan akan automatic menggigil, takut.

Kini,

Hospital itu satu kebiasaan. Pengalaman praktical 1 tahun di hospital berjaya menguatkan immune system dan semangat diri. Bau ubat sudah menjadi bau harian, melihat darah sudah menjadi pandangan rutin dan berdepan dengan kematian setiap hari di wad sudah menjadi perkara biasa.

Ya. Kematian setiap hari di wad sudah menjadi perkara biasa yang di lalui.

Saya ingat lagi, awal-awal memulakan practical di hospital. Bila dapat tahu pesakit saya meninggal, mesti akan bergetar satu badan dan balik itu saya akan menangis. Mood akan moody untuk beberapa hari. Rasa takut akan kematian itu sangat kuat. Dan kematian itu benar-benar menginsafkan.

Namun, perasaan itu kadang-kadang berubah. Semakin lama berada di hospital, kadang-kadang rasa sudah terbiasa dengan situasi kematian. Setiap yang bertugas di hospital, saya pasti mereka melalui situasi yang sama. Tanyalah kepada doktor, farmasi, nurse, pembantu perubatan, dietitian dan sesiapa sahaja pun. Perkhabaran kematian itu seperti perkhabaran biasa. Dan kadang-kadang sudah tak mampu menginsafkan. Astaghfirullahazim.

Satu perkara yang sentiasa saya mohon dari Allah,

Ya Allah, Janganlah kau kebalkan hatiku hingga berita kematian itu berlalu ibarat angin yang mendamaikan.

Jujur, saya takut. Saya takut perasaan takutkan mati itu Allah tarik dari hati. Saya takut badan saya yang dah immune dengan keadaan hospital turut ‘immune’ dengan kematian. Nauzubillahi minzalik.

****

لسلام عليكم أهل الديار من المؤمنين والمسلمين وإنا إن شاء الله للاحقون أسأل الله لنا ولكم العافية

‘Salam sejahtera ke atas kamu wahai ahli kubur, dari kalangan mukminin dan muslimin, InsyaAllah kami akan menyusul kalian, Aku berdoa kepada Allah supaya memberi keselamatan kepada kami dan kamu. [riwayat Muslim]


“Katakanlah, ‘Allahlah yang menghidupkan kamu kemudian mematikan kamu, setelah itu mengumpulkan kamu pada Hari Kiamat yang tidak ada keraguan padanya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Al-Jatsiyah: 26)

Hospital Diary-14



Pagi itu seperti biasa naik ke wad. Wad pertama yang saya masuk adalah wad lelaki. Hajat dihati ketika itu nak melawat pak cik HMA (rujuk hospital diary 3 dan hospital diary 10) , untuk melihat kadar penerimaan pak cik HMA terhadap susu yang baru, setelah minggu sebelumnya saya tukarkan susu kepada susu untuk pesakit diabetes.

Saya lihat katil yang selalu pak cik HMA guna di bahagian hadapan wad, kosong. Mungkin pak cik HMA ditukarkan ke katil yang lain. Saya pergi ke sudut jururawat dan periksa satu persatu nama pesakit di dalam wad tersebut. Cuba untuk mengenal pasti di mana pak cik HMA dipindahkan. TIADA. Nama pak cik HMA tiada. Pada ketika itu saya cuba berfikiran positif. Mungkin pak cik HMA sudah dibawa pulang. Atau mungkin juga pak cik HMA dipindahkan ke Hospital Kuantan untuk pantauan yang lebih teliti.

Saya beralih ke bahagian belakang wad. Menjenguk pak cik Z. Membaca nota DR tentang pak cik Z, tapi hati dan fikiran tertanya-tanya dengan pak cik HMA. Kepala asyik berfikir, ke mana perginya pak cik HMA?

Tiba-tiba ada seorang staff lelaki lalu. Mungkin kerana melihat dahi saya tengah berkerut dan seakan-akan mengelamun, dia menegur.

“Termenung jauh nampak. Siap berkerut dahi lagi. Ada masalahka?”

Saya memandang ke arahnya dan terus bertanya, “Pesakit katil 10, pak cik HMA tu mana? Ada nampak dia tak? Pergi cari dekat katil tadi tak ada. Katil kosong.”

Staff lelaki tadi memandang ke arah saya dan menjawab, “Oh pesakit tu, dah meninggal subuh tadi.”

Dan saya terkesima.

Al-Fatihah untuk pak cik HMA. Moga syurga buatmu pak cik.


****


“Dan milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan hanya kepada Allah segala urusan dikembalikan” (Ali Imran: 109)

(Allah berfirman), “Di sana kamu hidup, di sana kamu mati, dan daripada sana (pula) kamu akan dibangkitkan.” (Al-A’raf: 25)

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.” (Al Anbiya’: 35)



Hospital Diary-13



Maha Pemurah dan Maha Penyayang Allah SWT, ke atas seorang insan bergelar wanita. Dalam jasad seorang Hawa itu, Allah kurniakan suatu tempat yang sangat istimewa dan sangat berharga buat mereka. Tempat yang nyaman, tempat yang memberi kerehatan, tempat yang memberi perlindungan dan tempat yang Allah kurniakan kekuatan. Suatu tempat yang Allah berikan kemuliaan untuk memberikan rasa nyaman buat jasad yang lain. Dan suatu tempat yang Allah namakan dengan namaNya yang mulia, iaitu RAHIM yang bermaksud penyayang.

Namun acap kali ketika ini, sering kita melihat berita dan sering kita mendengar cerita, yang membuatkan nikmat serta erti sebenar “tempat” itu kian pudar dan malap.

“BAYI BARU DILAHIRKAN DIJUMPAI DI DALAM KOTAK DI HADAPAN MASJID”

“IBU YANG TAK BERPERIKEMANUSIAAN! BAYI BARU LEMAS DI DALAM MANGKUK TANDAS”

“PENGGUGURAN JANIN MENJADI TREND BUAT PASANGAN MUDA YANG BELUM BERKAHWIN”

Apa yang anda semua rasa bila membaca berita-berita ini? Jujur dari hati, saya rasa sedih. Hati saya rasa pedih. Dan jiwa saya rasa terhiris.

Berada di hospital atau agensi kesihatan, anda tidak akan lari dengan situasi kelahiran. Ada kelahiran yang sangat-sangat menggembirakan dan ada kelahiran yang mampu membuatkan anda mengalirkan air mata dan terus berfikir panjang.

Melihat kelahiran zuriat dari pasangan suami isteri amat-amat mendamaikan dan menenangkan. Khalifah kecil yang lahir disambut dengan linangan air mata kesyukuran. Dipeluk dengan pelukan kasih sayang. Dan diazankan atau diiqamatkan dengan harapan agar zuriat yang lahir menjadi anak yang soleh buat bekalan ibu dan ayah di sana nanti.

Namun, apabila saat kelahiran itu tiba, yang berada di hadapan mata pada ketika itu adalah seorang anak gadis muda belasan tahun, hati pasti meruntun hiba. Dan air mata terus mengalir apabila Khalifah kecil itu muncul ke dunia, si ibu memalingkan muka dan berkata, “Serahkan dia pada sapa-sapa pun. Saya tak kisah. Saya tak nak dia susahkan saya. Dah la tak tahu bapak dia yang mana satu. Lebih baik dia tak hadir dalam hidup saya. Menyusahkan!”

Selalu saya terfikir, adakah nikmat menjadi IBU itu sudah tidak dianggap sebagai nikmat? Adakah sakit ketika saat kelahiran itu tidak mampu menginsafkan jiwa-jiwa yang sudah jauh bergelumang dengan dosa? Tepuk dada, tanya iman.

****

“Bukankah Kami menciptakan kamu daripada air yang hina (mani).”

“Kemudian Kami letakkan ia di dalam tempat yang kukuh (rahim).”

“Sampai waktu yang ditentukan”

“Lalu kami tentukan (bentuknya), Kamilah sebaik-baik yang menentukan”


(Al Mursalat: 20-23)


Hospital Diary-12


Pak cik Z.

Pesakit yang saya tengok sejak saya mulakan practical di Hospital Kuantan. Pertemuan pertama kami di ICU. Keadaan pak cik Z pada ketika itu, sangat critical dan sudah semestinya makan menggunakan tube. Beberapa hari selepas itu, Pak cik Z di tukarkan ke ward biasa kerana keadaannya dah stabil sedikit. Awal pertemuan saya dengan pak cik Z, tubuhnya masih dalam keadaan sempurna. Cuma keadaan pak cik Z hanya mampu terbaring kerana stroke.

Selepas 7 minggu saya di Hospital Kuantan, saya bertukar ke Hospital Pekan. Hari ke dua saya di Hospital Pekan, satu kes ‘tube feeding’ diberi kepada saya. Naik-naik saja ke ward dan pergi ke katil pesakit, saya terkejut. Pak cik Z! Ya, pak cik yang saya tengok di Hospital Kuantan sekarang berada di Hospital Pekan.

Tak sangka dia ditukarkan ke sini. Mungkin lebih dekat dengan keluarga. Percaturan Allah yang Maha Hebat. Dan kes pak cik Z saya handle dari hospital Kuantan hinggalah Hospital Pekan. Rasa bertanggungjawab untuk handle kerana kes ini saya sudah lihat dari awal. Dan pertemuan kali ini di bandar di raja, sebelah kaki pak cik Z telah dipotong kerana kencing manis. Sepanjang pak cik Z di hospital, isterinya setia menemani.

Ada satu ketika, saya duduk bersembang dengan isteri pak cik Z.

“Mak cik, dah berapa lama pak cik terlantar di hospital?”

“Dah lama dah nak. Dah nak masuk setahun dah. Selama setahun tu juga la mak cik jaga pak cik.” Isteri pak cik Z membuka bicara sambil tangan mengelap badan pak cik Z.

“Mak cik tak penat? Ya lah berulang-alik hospital. Hampir setahun pulak tuh.”

“Penat tu memang penat nak. Tapi kalau mak cik tak jaga, siapa yang nak jaga? Lagipun ni suami mak cik. Sihat ka dia, sakit ka dia, dia tetap suami mak cik. Ni lah perkahwinan nak. Bukan senang saja bersama. Dalam keadaan macam ni pun kita bersama. Kalau mak cik tak kuat, dah lama mak cik tinggalkan pak cik. Tapi, Alhamdulillah. Allah masih kurniakan sesuatu kepada mak cik. Iaitu nikmat SABAR.” Isteri pak cik Z terus membersihkan badan suaminya dengan senyuman di bibir J

Saya berlalu pergi, meninggalkan seorang isteri yang sentiasa berusaha mencurahkan bakti buat seorang suami. Berkat SABAR seorang isteri. Moga syurga buatmu mak cik.


SABAR

****

Al Baqarah: 153

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya, Allah bersama-sama orang yang sabar. 


SIAPA SAYA

My photo
Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Malaysia
Puteri sulung dan tunggal kepada Encik Hamali dan Puan Munirah. ::TASKI ABIM:: ::SEK KEB TASEK GELUGOR:: ::SEK MEN SAINS RAJA TUN AZALAN SYAH(SERATAS):: ::ALLIED HEALTH SCIENCES, CFSIIUM:: :: BACHELOR OF DIETETICS IIUM '11-'15
SAYA SAYANG ANDA SEMUA KERANA ALLAH

MEREKA KATA....

Get widget here

Blog Archive