Tuesday, May 26, 2015

Hospital Diary-17




Hospital diary kali ini khusus untuk insan-insan yang banyak berjasa kepada saya dan sahabat-sahabat saya sepanjang kami berpraktikal di mana-mana hospital.

Bila terkenang kenangan pertama kali kami ‘dilepaskan’ oleh UIA untuk bertebaran membawa diri masuk ke dalam hospital, pastinya setiap daripada kami ada cerita yang tersendiri. Berada di dunia yang sebenar cukup berbeza dengan dunia yang kami bina selama ini. Pada waktu itu, kami berjumpa dengan dunia baru dan diserahkan kepada ‘ibu dan ayah’ yang baru. Ada yang sudah mengalirkan air mata seawal hari pertama berada di hospital. Dan ada yang mampu bertabah dan bertahan hingga ke akhir garisan penamat. J


JJJ IBU DAN AYAH YANG BARU JJJ


Masuk ke alam clinical, kami diserahkan kepada dietitian-dietitian hospital. Ada yang garang. Ada yang baik. Ada yang tersangat penyayang. Ada yang persis seorang kakak. Ada yang berperwatakan seperti seorang ibu dan ayah.

Hari pertama di hospital, terasa macam tidak berpijak di Bumi, tapi tercampak jauh di planet Marikh. Segala-galanya asing dan terasa macam orang bodoh yang tidak tahu apa-apa, walaupun hakikatnya ada perkara yang dah pernah belajar sebelum ni. Perasaan nak berdepan dengan dietitian hospital buat pertama kalinya satu perasaan yang susah nak digambarkan. Cukuplah kalau saya kata, perasaan itu mampu membuatkan malam sebelum itu badan menggigil demam.

Walaupun banyak perkara yang kami tak tahu, mereka sabar dengan kerenah kami. Ada yang sanggup balik lewat semata-mata untuk buat extra class dengan kami. Ada yang terlalu sibuk dengan urusan clinical dan admin, tapi berusaha untuk duduk sebentar dengan kami untuk mengajar kami. Ada yang memberi kata-kata motivasi dan semangat kepada kami bilamana level ketahanan diri dah hampir-hampir tersungkur ke bumi. Dan ada yang mengucapkan Selamat Hari Lahir apabila hari bersejarah itu tiba di saat kekalutan di hospital JJJ



Berperwatakan seperti mana pun mereka, mereka adalah GURU buat kami. Insan yang terlalu banyak jasa mereka dalam membentuk diri kami. Insan yang Allah kurniakan kesabaran yang sangat tinggi dalam diri mereka untuk mendidik kami.

Buat semua dietitian yang pernah mengajar dan mendidik saya dan sahabat-sahabat, jasa kalian terlalu banyak buat kami. Tak tahu dengan cara apa kami boleh membalasnya. Hanya doa yang mampu kami pohon dari Allah:

Agar Allah merahmati kamu, agar Allah meredhai hidupmu, agar Allah mempermudahkan urusanmu dan agar Allah mempertemukan kita lagi. Andai bukan pertemuan di dunia, aku bermohon dari Allah agar kita dipertemukan di syurga.



TERIMA KASIH GURUKU.


Saturday, May 23, 2015

Hospital Diary-16

Seorang sahabat lama saya message baru-baru ni. Bertanyakan tentang kondisi atoknya. Terlantar di rumah kerana stroke. Kini, kaum keluarga yang menjaga di rumah. Saya kagum dengan mereka, kerana bukan mudah untuk menjaga seorang pesakit stroke. Serba serbi perlu di jaga.

Kebiasaan pesakit stroke akan makan melalui tube. Dan susu yang sesuai sepatutnya perlu diberi mengikut kesesuaian setiap pesakit. Atok sahabat saya juga makan menggunakan tube. Baru-baru ini DR datang ke rumah untuk membuat pemeriksaan dan DR menyatakan bahawa pesakit sudah boleh diberi makanan biasa melalui tube. Pada awalnya atok sahabat saya menggunakan susu ENSURE, 6 scoops untuk setiap kali bancuhan, 6 kali satu hari. Tapi sekarang, sukatan tersebut di kurangkan kepada 3 kali sehari dan selebihnya di gantikan dengan susu Nespray dicampur dengan Milo.

Dan apa yang terjadi?

Hingga kini atok sahabat saya mengeluarkan najis yang sangat banyak dalam bentuk yang cair. Mungkin boleh dikatakan sebagai cirit-birit. Bak kata sahabat saya, penuh pampers dan kerap.

Apa yang lebih saya sedihkan adalah, sepanjang atok sahabat saya terlantar di Hospital, tidak pernah sekalipun dirujuk kepada pegawai pemakanan. Jadi, bagaimana dengan susu yang diterima? Semuanya daripada nurse. Ikut pada susu apa yang ada. Kalau ada ENSURE dapat ENSURE. Kalau ada NUTREN DIABETIK bagi NUTREN DIABETIK, kalau ada NUTREN FIBRE dapat NUTREN FIBRE. Mungkin hospital tersebut tak ada pegawai pemakanan? SALAH! Hospital tersebut ada pegawai pemakanan.

Saya tak bermaksud nak salahkan mana-mana pihak. Berada di hospital, hatta di mana-mana tempat sekalipun, kerjasama di dalam satu pasukan itu tersangat PENTING. Setiap individu di setiap posisi mempunyai kepakaran mereka yang tersendiri. Kerana itu di hospital kita ada doktor, nurse, farmasi, pegawai pemakanan, fisiology, pegawai x-ray dan ramai lagi. Kerana setiap daripada bidang tugas itu berbeza dan mempunyai kepakarannya yang tersendiri.

Point utama saya cukup jelas. Kepada para doktor sekalian (bukan semua), tolonglah turunkan sedikit ego-ego anda. Beri kepercayaan kepada team yang lain. Andai ada pesakit yang kritikal, mohon di rujukkan kepada pegawai pemakanan juga. Perlu diingat, berilah ubat yang terbaik atau rawatan yang terbaik tapi andaikata pesakit tidak mendapat tenaga yang mencukupi melalui pemakanan, tahap kesihatan mereka boleh menjadi lebih teruk lagi.

Mari kita implemenkan konsep ADIL., iaitu meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Berkerjalah sebagai satu pasukan demi untuk memberikan yang terbaik buat para pesakit.

Bekerja di hospital bukan untuk berbangga, tapi kita bekerja untuk berkhidmat dan kita bekerja untuk berbakti.

***

Salman Al Farisi, seorang ahli peperangan biasa. Sebelum berlakunya peperangan khandak, Salman bangun memberikan pendapat kepada Baginda Nabi SAW agar di bina ‘khandak’, di sekitar kawasan itu. Dan apa yang Baginda Nabi SAW lakukan, baginda meraikan dan menerima cadangan Salman. Indahnya akhlak seorang Nabi. Walaupun bergelar Nabi, mentadbir negeri namun Baginda tetap tunduk meraikan pandangan ahli yang lain.


Hospital Diary-15



Satu ketika dulu, hospital adalah tempat yang seboleh-bolehnya, saya akan elak untuk masuk walaupun sebagai seorang pelawat. Hakikatnya dulu, masuk saja ke dalam pagar hospital walaupun sebagai pelawat, jantung dah berdegup kencang. Melangkah sahaja kaki ke dalam wad, temperature badan terus naik dan bila balik saja ke rumah pasti akan demam selama seminggu.

Pada waktu itu, bau ubat saja dah boleh memeningkan apatah lagi saat melihat darah memang rasa nak pitam. Mungkin immune system pada masa itu terlalu lemah atau mungkin juga semangat pada waktu itu terlalu goyah. Hospital dan saya memang sangat tak kamceng satu ketika dulu. Dan kalau mendengar berita kematian, badan akan automatic menggigil, takut.

Kini,

Hospital itu satu kebiasaan. Pengalaman praktical 1 tahun di hospital berjaya menguatkan immune system dan semangat diri. Bau ubat sudah menjadi bau harian, melihat darah sudah menjadi pandangan rutin dan berdepan dengan kematian setiap hari di wad sudah menjadi perkara biasa.

Ya. Kematian setiap hari di wad sudah menjadi perkara biasa yang di lalui.

Saya ingat lagi, awal-awal memulakan practical di hospital. Bila dapat tahu pesakit saya meninggal, mesti akan bergetar satu badan dan balik itu saya akan menangis. Mood akan moody untuk beberapa hari. Rasa takut akan kematian itu sangat kuat. Dan kematian itu benar-benar menginsafkan.

Namun, perasaan itu kadang-kadang berubah. Semakin lama berada di hospital, kadang-kadang rasa sudah terbiasa dengan situasi kematian. Setiap yang bertugas di hospital, saya pasti mereka melalui situasi yang sama. Tanyalah kepada doktor, farmasi, nurse, pembantu perubatan, dietitian dan sesiapa sahaja pun. Perkhabaran kematian itu seperti perkhabaran biasa. Dan kadang-kadang sudah tak mampu menginsafkan. Astaghfirullahazim.

Satu perkara yang sentiasa saya mohon dari Allah,

Ya Allah, Janganlah kau kebalkan hatiku hingga berita kematian itu berlalu ibarat angin yang mendamaikan.

Jujur, saya takut. Saya takut perasaan takutkan mati itu Allah tarik dari hati. Saya takut badan saya yang dah immune dengan keadaan hospital turut ‘immune’ dengan kematian. Nauzubillahi minzalik.

****

لسلام عليكم أهل الديار من المؤمنين والمسلمين وإنا إن شاء الله للاحقون أسأل الله لنا ولكم العافية

‘Salam sejahtera ke atas kamu wahai ahli kubur, dari kalangan mukminin dan muslimin, InsyaAllah kami akan menyusul kalian, Aku berdoa kepada Allah supaya memberi keselamatan kepada kami dan kamu. [riwayat Muslim]


“Katakanlah, ‘Allahlah yang menghidupkan kamu kemudian mematikan kamu, setelah itu mengumpulkan kamu pada Hari Kiamat yang tidak ada keraguan padanya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Al-Jatsiyah: 26)

Hospital Diary-14



Pagi itu seperti biasa naik ke wad. Wad pertama yang saya masuk adalah wad lelaki. Hajat dihati ketika itu nak melawat pak cik HMA (rujuk hospital diary 3 dan hospital diary 10) , untuk melihat kadar penerimaan pak cik HMA terhadap susu yang baru, setelah minggu sebelumnya saya tukarkan susu kepada susu untuk pesakit diabetes.

Saya lihat katil yang selalu pak cik HMA guna di bahagian hadapan wad, kosong. Mungkin pak cik HMA ditukarkan ke katil yang lain. Saya pergi ke sudut jururawat dan periksa satu persatu nama pesakit di dalam wad tersebut. Cuba untuk mengenal pasti di mana pak cik HMA dipindahkan. TIADA. Nama pak cik HMA tiada. Pada ketika itu saya cuba berfikiran positif. Mungkin pak cik HMA sudah dibawa pulang. Atau mungkin juga pak cik HMA dipindahkan ke Hospital Kuantan untuk pantauan yang lebih teliti.

Saya beralih ke bahagian belakang wad. Menjenguk pak cik Z. Membaca nota DR tentang pak cik Z, tapi hati dan fikiran tertanya-tanya dengan pak cik HMA. Kepala asyik berfikir, ke mana perginya pak cik HMA?

Tiba-tiba ada seorang staff lelaki lalu. Mungkin kerana melihat dahi saya tengah berkerut dan seakan-akan mengelamun, dia menegur.

“Termenung jauh nampak. Siap berkerut dahi lagi. Ada masalahka?”

Saya memandang ke arahnya dan terus bertanya, “Pesakit katil 10, pak cik HMA tu mana? Ada nampak dia tak? Pergi cari dekat katil tadi tak ada. Katil kosong.”

Staff lelaki tadi memandang ke arah saya dan menjawab, “Oh pesakit tu, dah meninggal subuh tadi.”

Dan saya terkesima.

Al-Fatihah untuk pak cik HMA. Moga syurga buatmu pak cik.


****


“Dan milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan hanya kepada Allah segala urusan dikembalikan” (Ali Imran: 109)

(Allah berfirman), “Di sana kamu hidup, di sana kamu mati, dan daripada sana (pula) kamu akan dibangkitkan.” (Al-A’raf: 25)

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.” (Al Anbiya’: 35)



Hospital Diary-13



Maha Pemurah dan Maha Penyayang Allah SWT, ke atas seorang insan bergelar wanita. Dalam jasad seorang Hawa itu, Allah kurniakan suatu tempat yang sangat istimewa dan sangat berharga buat mereka. Tempat yang nyaman, tempat yang memberi kerehatan, tempat yang memberi perlindungan dan tempat yang Allah kurniakan kekuatan. Suatu tempat yang Allah berikan kemuliaan untuk memberikan rasa nyaman buat jasad yang lain. Dan suatu tempat yang Allah namakan dengan namaNya yang mulia, iaitu RAHIM yang bermaksud penyayang.

Namun acap kali ketika ini, sering kita melihat berita dan sering kita mendengar cerita, yang membuatkan nikmat serta erti sebenar “tempat” itu kian pudar dan malap.

“BAYI BARU DILAHIRKAN DIJUMPAI DI DALAM KOTAK DI HADAPAN MASJID”

“IBU YANG TAK BERPERIKEMANUSIAAN! BAYI BARU LEMAS DI DALAM MANGKUK TANDAS”

“PENGGUGURAN JANIN MENJADI TREND BUAT PASANGAN MUDA YANG BELUM BERKAHWIN”

Apa yang anda semua rasa bila membaca berita-berita ini? Jujur dari hati, saya rasa sedih. Hati saya rasa pedih. Dan jiwa saya rasa terhiris.

Berada di hospital atau agensi kesihatan, anda tidak akan lari dengan situasi kelahiran. Ada kelahiran yang sangat-sangat menggembirakan dan ada kelahiran yang mampu membuatkan anda mengalirkan air mata dan terus berfikir panjang.

Melihat kelahiran zuriat dari pasangan suami isteri amat-amat mendamaikan dan menenangkan. Khalifah kecil yang lahir disambut dengan linangan air mata kesyukuran. Dipeluk dengan pelukan kasih sayang. Dan diazankan atau diiqamatkan dengan harapan agar zuriat yang lahir menjadi anak yang soleh buat bekalan ibu dan ayah di sana nanti.

Namun, apabila saat kelahiran itu tiba, yang berada di hadapan mata pada ketika itu adalah seorang anak gadis muda belasan tahun, hati pasti meruntun hiba. Dan air mata terus mengalir apabila Khalifah kecil itu muncul ke dunia, si ibu memalingkan muka dan berkata, “Serahkan dia pada sapa-sapa pun. Saya tak kisah. Saya tak nak dia susahkan saya. Dah la tak tahu bapak dia yang mana satu. Lebih baik dia tak hadir dalam hidup saya. Menyusahkan!”

Selalu saya terfikir, adakah nikmat menjadi IBU itu sudah tidak dianggap sebagai nikmat? Adakah sakit ketika saat kelahiran itu tidak mampu menginsafkan jiwa-jiwa yang sudah jauh bergelumang dengan dosa? Tepuk dada, tanya iman.

****

“Bukankah Kami menciptakan kamu daripada air yang hina (mani).”

“Kemudian Kami letakkan ia di dalam tempat yang kukuh (rahim).”

“Sampai waktu yang ditentukan”

“Lalu kami tentukan (bentuknya), Kamilah sebaik-baik yang menentukan”


(Al Mursalat: 20-23)


Hospital Diary-12


Pak cik Z.

Pesakit yang saya tengok sejak saya mulakan practical di Hospital Kuantan. Pertemuan pertama kami di ICU. Keadaan pak cik Z pada ketika itu, sangat critical dan sudah semestinya makan menggunakan tube. Beberapa hari selepas itu, Pak cik Z di tukarkan ke ward biasa kerana keadaannya dah stabil sedikit. Awal pertemuan saya dengan pak cik Z, tubuhnya masih dalam keadaan sempurna. Cuma keadaan pak cik Z hanya mampu terbaring kerana stroke.

Selepas 7 minggu saya di Hospital Kuantan, saya bertukar ke Hospital Pekan. Hari ke dua saya di Hospital Pekan, satu kes ‘tube feeding’ diberi kepada saya. Naik-naik saja ke ward dan pergi ke katil pesakit, saya terkejut. Pak cik Z! Ya, pak cik yang saya tengok di Hospital Kuantan sekarang berada di Hospital Pekan.

Tak sangka dia ditukarkan ke sini. Mungkin lebih dekat dengan keluarga. Percaturan Allah yang Maha Hebat. Dan kes pak cik Z saya handle dari hospital Kuantan hinggalah Hospital Pekan. Rasa bertanggungjawab untuk handle kerana kes ini saya sudah lihat dari awal. Dan pertemuan kali ini di bandar di raja, sebelah kaki pak cik Z telah dipotong kerana kencing manis. Sepanjang pak cik Z di hospital, isterinya setia menemani.

Ada satu ketika, saya duduk bersembang dengan isteri pak cik Z.

“Mak cik, dah berapa lama pak cik terlantar di hospital?”

“Dah lama dah nak. Dah nak masuk setahun dah. Selama setahun tu juga la mak cik jaga pak cik.” Isteri pak cik Z membuka bicara sambil tangan mengelap badan pak cik Z.

“Mak cik tak penat? Ya lah berulang-alik hospital. Hampir setahun pulak tuh.”

“Penat tu memang penat nak. Tapi kalau mak cik tak jaga, siapa yang nak jaga? Lagipun ni suami mak cik. Sihat ka dia, sakit ka dia, dia tetap suami mak cik. Ni lah perkahwinan nak. Bukan senang saja bersama. Dalam keadaan macam ni pun kita bersama. Kalau mak cik tak kuat, dah lama mak cik tinggalkan pak cik. Tapi, Alhamdulillah. Allah masih kurniakan sesuatu kepada mak cik. Iaitu nikmat SABAR.” Isteri pak cik Z terus membersihkan badan suaminya dengan senyuman di bibir J

Saya berlalu pergi, meninggalkan seorang isteri yang sentiasa berusaha mencurahkan bakti buat seorang suami. Berkat SABAR seorang isteri. Moga syurga buatmu mak cik.


SABAR

****

Al Baqarah: 153

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya, Allah bersama-sama orang yang sabar. 


Hospital Diary-11



Situasi satu:

Dah dua tiga kali follow up pesakit tersebut, tapi gula masih tinggi juga. Bila tanya pada pesakit, dia kata dia makan makanan hospital saja. Tapi, kenapa gula dia boleh tinggi? Ubat kencing manis ambil on time, makan on time dan makan makanan hospital saja. Tapi… GULA MASIH TINGGI

Situasi dua:

Kemarin dah penat cakap pada pesakit dan ahli keluarga, jangan bawak makanan dari luar. Makan makanan hospital saja. Tengok-tengok datang hari ni, atas meja meriah. 100 plus ada, roti butterschotch ada, masak lomak cili api ada, kuih seri muka ada. Hmmm. Mahunya gula tak melambung-lambung. Makan dengan rasa tak bersalah pulak tuh.

Dua situasi yang kerap menghantui. Dan kadang kala membuatkan diri rasa FAILED. FAILED dalam membantu pesakit dan FAILED dalam membuatkan pesakit dan ahli keluarga faham apa yang nak disampaikan. Kadang kala rasa sedih, ada juga rasa kecewa.

*****

La Tahzan Innallaha Ma’ana.
Jangan bersedih, kerana Allah bersama kita J
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? –Al Ankabut: 3

Kita selalu berfikir dan mengagumi hentakkan yang terakhir ke atas sebuah batu, kerana dengan hentakan itu, batu tersebut berjaya dipecahkan. Tapi pernah kah kita terfikir, jika tiada hentakan yang pertama, hentakan yang terakhir tidak mungkin berjaya. Mungkin pada saat dan ketika ini, apa yang kita lakukan tidak melihatkan hasil, namun berdoalah, agar usaha kita pada hari ini dipandang, diredhai dan dirahmati Allah.

Allah tidak memandang akan kejayaan kita, namun Allah melihat usaha kita. J


Hospital Diary-10


Pernah atau tak, anda semua kena marah tanpa sebab yang anda tidak tahu? Datang-datang terus kena sembur…. Depan orang ramai pulak tu….Saya pernah L

Ingat Pak Cik HMA? Bagi yang tak ingat, boleh rujuk HospitalDiary-3.

Satu hari seperti biasa saya naik ke ward. Berhajat nak follow up pesakit-pesakit di ward dan sambil-sambil tu boleh mintak referral case yang baru. Melangkah saja kaki masuk ke ward lelaki, tiba-tiba ada seorang akak jururawat ni terus pandang dan……

“Haaa, awak ni student diet kan? Apa yang awak buat ni? Kenapa awak bagi susu Ensure pada pak cik HMA tu, dia kan ada diabetes. Tengok gula dia naik melambung-lambung dah sekarang ni. Awak ni bagi tahu tak pegawai awak dulu ni tentang susu yang awak bagi? Ke awak main bagi ja?”

Kata-kata dan jelingan mata yang berjaya merubah mood saya untuk separuh hari tu. Dalam hati ada macam-macam rasa. MALU sebab semua pesakit tengok, MARAH sebab ditegur sebegitu, TERPINGA-PINGAN sebab datang-datang terus kena sembur dan SEDIH kerana saat dan ketika itu rasa maruah dipijak-pijak. Semua perasaan itu saya simpan dalam hati walaupun sakitnya tu di sini, hanya Allah saja yang tahu.

Saya senyum pada jururawat tadi. Cuba untuk mengusir dan memadamkan api marak yang telah syaitan berjaya hidupkan dan berusaha untuk besarkan. Saya pergi berdiri betul-betul di hadapan akak jururawat tadi. Bahunya saya pegang dan wajahnya saya tatap bersama dengan segaris senyuman.

“Sekejap ya akak, saya tengok semula file pak cik HMA. Sejak awal-awal saya tengok pak cik HMA, dia memang tak ada diabetes. Dalam file pun DR tak tulis, anak-anak dia pun saya dah tanya. Dan berkenan susu tu, saya dah rujuk dulu dengan pegawai saya, dan dia dah maklum dengan apa yang saya beri. J “. Senyuman tetap diberikan buat akak tersebut. Moga senyuman itu mampu memadamkan api yang syaitan hidupkan.

“Oh, sebenarnya baru pagi tadi DR diagnosed pak cik HMA ada diabetes dik…. Tolong tukar susu ya.” Akak jururawat tadi membalas, tapi kali ini dengan intonasi suara dan memek muka yang berbeza 180 darjah. Intonasi suara yang sangat lembut bersama senyuman yang terus memadamkan api buatan syaitan.

Dan mood saya pada hari itu turut berubah 180 darjah J


***

Semasa zaman Rasulullah SAW dahulu, ada seorang perempuan Yahudi yang selalu menyakiti baginda Nabi. Diletakannya duri, kotoran dan segala-galanya untuk mengganggu perjalanan Baginda Nabi. Namun, pada suatu hari, baginda Nabi berasa pelik kerana laluannya tidak diganggu dan perempuan Yahudi tersebut tiada di tempat yang selalu dia berdiri untuk menghina dan mengganggu baginda Nabi. Apabila disiasat, tahulah Rasulullah bahawa perempuan Yahudi itu sedang sakit. Dan apa yang baginda Nabi SAW buat? Baginda datang ke rumah perempuan Yahudi tersebut untuk menziarahinya.

Kita mungkin tak layak untuk menjadi seperti Rasulullah SAW, apatah lagi memiliki akhlak semulia Baginda Nabi. Namun, berusahalah untuk mengikuti walaupun secebis dari akhlak Baginda SAW.

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".

Surah Al-Ahzab : Ayat 21



Hospital Diary-9

13 April 2015
Pak cik AK, 71 tahun menghidap kencing manis yang sangat tak terkawal.
Kali pertama datang menguruskan kes pak cik AK, hati rasa seronok. Seronok bila melihat setiap masa, semua anak-anak pak cik AK ada di situ. Walaupun setiap daripada mereka sudah memiliki keluarga masing-masing, namun disaat ayah mereka terlantar sakit, mereka ada disitu. Along ada, angah ada, achik ada, uda ada.
Bila melihat mereka begitu, kadang-kadang membuatkan aku terfikir, mampukah aku berada disamping keluarga, saat keluarga memerlukan aku? Hmmmmm
Semasa sedang membaca kes pak cik AK, pak cik tersebut bangun dan meminta izin dari aku untuk balik. Tidak betah barangkali berlama-lama di hospital. Aku senyum pada pak cik AK, dan merapati beliau di katil.
"Pak cik, pak cik nak balik awal ya. Mesti dah rindukan rumah ya?" Aku berbual sebelum agenda seterusnya.
"Pak cik nak balik nak. Rasa lama sangat dah pak cik di hospital ni. Tolonglah kasi pak cik balik nak". Dengan muka penuh pengharapan, pak cik AK merayu.
Aku tunduk memandang pak cik AK, "Pak cik, insyaAllah pak cik boleh balik. Tapi dengan syarat. Pak cik kena habiskan makanan yang hospital bagi, makan ubat dan bagi gula terkawal. InsyaAllah pak cik mesti boleh balik J  " Pak cik AK tersenyum dan kembali tidur.
Aku meneruskan kerja menyiapkan document Dietetics Care Notes pak cik AK. Anak pak cik AK, datang ke arah aku dan mula berbual.
"Maafla dik, ayah akak tu dah nyanyuk sikit, sejak mak meninggal."
Kenyataan itu sedikit membuatkan aku terkesima sesaat. Sebab pak cik AK nampak seperti orang yang biasa yang hanya terlantar sakit.
Selesai menyiapkan document pak cik AK dan memberikan diet consultation kepada anak-anak pak cik AK, aku bersiap untuk beralih ke pesakit yang seterusnya.
Tiba-tiba....
"Nak...nak...mari sini kejap". Pak cik AK memanggil
Aku berjalan kembali ke arah pak cik AK. Dan pak cik AK menghulurkan nota RM1 kepada aku.Sekali lagi aku terkesima. Dan huluran RM1 itu aku tolak. Pak cik AK tetap menghulurkan.
"Ambiklah dik. Ayah memang dah biasa dalam hidup dia bersedeqah, jadi bila dalam keadaan macam ni pun, dia akan beri jugak'. Kali ketiga saya terkesima dan huluran note RM1 itu saya sambut dan pak cik AK sempat berpesan,
"Nak, dalam hidup kita ini, kita tak boleh kedekut. Selalulah memberi nak."
Terima kasih pak cik AK. Nasihat yang akan aku pegang. Pengajaran yang memaknakan hidupku. Walaupun pak cik AK nyanyuk, tapi ada amalannya yang membantu beliau hingga ke hari ini. Alhamdulillah.

********************************************************************************************


Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Al Baqarah: 262)



Hospital Diary-8


30 APRIL 2015

11.19 pagi.

Tak tau nak cakap rasa apa. Rasa berdebar, rasa cuak, rasa gementar. Pukul 12 ni kena buat presentation 2 case kepada dietitian dan kepada semua pegawai penyediaan makanan. Satu case pesakit makan menggunakan tube feeding dan satu lagi makan secara normal biasa. Ok fokus!
Shakina, kawan aku dekat depan ni dok nyanyi pulak… “I want to go back, I want to go home”. Haissshhh…. Rasa dalam hati tu lagi tak boleh nak kawal. Perasaan berdebar nak present case bercampur dengan perasaan excited nak balik kampung!!!

12.15 tengah hari.

Inilah masanya! Pembentang pertama pulak tuh. Pembentangan kali ini sangat berbeza kerana perlu memahamkan pegawai penyediaan makanan juga iaitu orang-orang yang bekerja di dapur. Bismillahirrahmanirrahim. Slide dalam bahasa Inggeris, tapi pembentangan dalam bahasa Melayu dan aku usahakan untuk menyampaikan dengan menggunakan bahasa yang mudah (lay man term) sangat-sangat supaya semua orang faham.

12.40 tengah hari.



Selesai pembentangan. Amazing! Aku menjangkakan mereka semua tak akan faham atau mungkin berkerut-kerut untuk faham. TAPI!! Alhamdulillah mereka faham. Dan bertubi-tubi soalan dari mereka. J J J Jangan pandang mereka sebelah mata. Mungkin taraf pendidikan mereka lebih rendah berbanding kita, tapi ilmu dan pengalaman mereka lebih banyak berbanding kita. Ingat, ilmu itu bukan hanya diperolehi di dalam bilik kuliyyah saja.

Lega…Alhamdulillah…Fikiran kembali gementar, sebab nak balik kampung petang tu!!!


(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.

[Az-Zumar: 9]


Hospital Diary-7



Ramai yang kata, jadi Dr banyak pahala. Sebabnya, Dr membantu orang-orang sakit.
Hakikatnya, jadilah apa sahaja, selagi mana tak melanggar syariat, niat kerana Allah taala dan niat untuk menyumbang kepada Islam, InsyaAllah dapat pahala jugak.
Ada orang tanya, macam mana jadi dietitian atau pegawai pemakanan boleh dapat pahala?
:) senyum....
Nak buat pahala ni senang ja.
Sebelum jumpa pesakit, niat nak bantu kerana Allah. Jumpa pesakit, senyum dan bagi salam. Jangan lupa, sedeqahkan Al Fatihah buat pesakit dan sedikit doa buat mereka. Bila pesakit mengeluh dengan kesakitan mereka, ingatkan mereka tentang ujian dan pahala kesabaran.
Dan paling penting, ingatkan mereka untuk terus solat walau dalam apa jua keadaan pun.
Nak buat dosa susah , nak buat pahala punyalah senang. Tu pun hampa pakat tak mau buat lagi.


Hospital Diary-6



Selesai semua kes pada hari ini. Duduk sebentar di sofa di hadapan ward sementara menyiapkan document-document yang nak diletakkan di dalam file pesakit.

Seorang mak cik, barangkali isteri kepada salah seorang pesakit datang duduk di sofa bersebelahan dengan sofa yang aku duduk. Senyum buatnya.

“Puan datang tengok pesakit ke?” aku cuba beramah mesra.

“Mak cik datang jaga suami mak cik. Dia ada darah tinggi. Dah tua dah. 80 lebih dah DR.” Mak cik tersebut jawab dengan ramahnya, sambil senyuman tak lekang dari mulut.

“DR dah habis tengok pesakit ker?” ujar mak cik tadi. (Ok saat tengah tulis post ni, baru teringat rupanya aku tak tanya pun nama mak cik tu. Ok!)

“Alhamdulillah mak cik dah habis dah. Tengah siapkan document sikit”. Aku balas untuk meraikan pertanyaan mak cik tadi.

“DR, mesti penatkan kena tengok ramai pesakit. Mak cik yang jaga pak cik sorang ni pun rasa penat sangat. Hanya Allah saja yang tahu”. Mak cik tersebut mula membuka cerita dan meluahkan perasaan.
Aku tersenyum dan memandang mak cik tersebut. “Penat, mak cik. Kadang-kadang rasa macam nak tidur saja.” 

Aku tersenyum dan dia juga tersenyum.  

Aku letakkan pen dan document yang sedang diisi dan membetulkan kedudukan. Duduk betul-betul berhadapan dengan mak cik tersebut. “Penat memang penat mak cik. Jaga orang sakitkan. Macam-macam kerenah pulak tuh. Tapi, insya-Allah, setiap kepenatan kita itu, Allah ganjari dengan pahala. Penat saya sikit saja. Tapi, penat mak cik lagi berganda. Tapi, yakinlah. InsyaAllah Mak cik lagi la Allah ganjari dengan berganda-ganda pahala. Berbakti pada suami, sabar dengan kerenah suami, dan setiasa bersama suami walaupun suami tengah sakit. 

Moga syurga buat mak cik nanti”.

 Mak cik itu tersenyum. Ya, seorang isteri yang penat menjaga suami, tapi masih mampu tersenyum. Aku bangun dan minta izin untuk balik ke pejabat dari mak cik tersebut. Sebelum balik, mak cik itu sekali lagi tersenyum.





Teringat kisah Rasulullah berlari balik dari Gua Hira’ sejurus selepas Jibril datang berjumpa baginda. Khadijah yang pada masa itu tidak tahu apa yang berlaku tidak terus memeningkan kepala baginda dengan soalan yang bertubi-tubi. Apa yang Saidatina Khadijah lakukan? Muhammad diselimut dan dipeluk agar diri baginda beroleh keamanan. Hinggalah akhirnya, Muhammad tenang di atas pangkuan Saidatina Khadijah.


Hospital Diary-5

Masih ingat dengan ‘SEPASANG MATA DISEBALIK JERIJI BESI’?.
Bagi yang terlupa atau belum baca, boleh rujuk di Hospital diary-1.

Namanya TS.
Beberapa hari yang lepas, sewaktu tengah membaca file dan maklumat seorang pesakit yang baru dirujuk, tiba-tiba ada seseorang yang berbaju hijau lalu di sebelah.
Saat aku menoleh, rasa tersentak dan darah seakan-akan memecut laju ke seluruh tubuh badan.
“TS! Macam mana dia boleh terlepas dan merayau-rayau dalam wad.?”
Saat itu mata dan tangan seakan-akan sudah tidak boleh berfungsi. Saat dan ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu. Rasa takut yang teramat sangat. Macam-macam yang hadir dalam fikiran.
“Macam mana kalau dia datang terkam aku?”
“Macam mana kalau dia mengamuk?”
“Macam mana kalau dia baling semua barang?”
“Macam mana itu…macam mana ini….”
Aku tunduk dan cuba fokus pada file pesakit. Dalam hati hanya mampu istighfar dan berharap agar TS tak datang ke arah aku. Jasad mata memandang file pesakit, tapi hakikatnya pandangan mata terus mengawasi gerak-geri TS. Waktu itu rasa macam nak berlari keluar dari ward. Yes. TAKUT!
Satu saat…dua saat..tiga saat….
Allah, TS makin dekat!! Dan berada beberapa kaki dari aku. Dia pergi kepada penjaga pesakit dan menarik tangan mereka…..dan….dia salam.
Dia datang ke arah aku dan bersalam dengan sahabat aku Shakina Bt Ghariff .
Dan, dia datang di hadapan aku. Berhenti betul-betul di hadapan aku.
Aku tunduk memandang file pesakit. Muka TS langsung tidak aku pandang. TAKUT!!!!
Tiba-tiba sahabat aku bersuara pada TS, “TS, salam kakak ni.”
Waktu itu rasa macam muka ditoreh tanpa darah. Kaki menggeletar. Rasa macam nak sekeh ja sahabat aku yang sorang ni. Orang tengah takut yang amat, dia boleh main-main pulak. Tiba-tiba TS ambil tangan aku dan salam. Sebelum beredar, dia berpaling dan ucapkan, “Terima Kasih kakak!”
Hati tersentak. Minda berfikir. Mulianya dirimu dik, walaupun nikmat aqalmu diuji Allah, namun sekeping hatimu terlalu murni.

”Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Kadang-kadang dalam kehidupan kita, kita tak sedar siapa yang Allah utuskan untuk mendidik diri kita. Boleh jadi Allah utuskan pesakit-pesakit yang pelbagai kerenah untuk menguji kita, boleh jadi Allah hadirkan orang-orang yang bawak kereta macam nak gila di kiri kanan kita, dan boleh jadi Allah hadirkan seekor kucing yang sangat kita takut untuk menguji diri kita.
Bersangka baik dengan Allah. Setiap perkara yang Allah beri dan datangkan pasti ada manfaat buat diri kita :)


Hospital Diary-4


Setiap kali makanan sedang di masak di dapur hospital dan di tolak naik ke wad, hinggalah di hidangkan kepada pesakit, perut mesti akan berkeroncong lagu Elizabeth Tan, Knock...Knock. Sedapnya!!!!
Sedap. Serious tak tipu. Menu hospital memang sedap. Tambah-tambah kalau menu nasi ayam dan kek pisang.

Tapi, bila sampai kepada pesakit, ada yang tak makan. Kalau makan pun, mungkin hanya beberapa suap. Ada yang makan, kemudian muntah. Ada yang nak makan, tapi kena kawal makan.
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya" (Al Baqarah: 286)
Saat diuji dengan kesakitan, nikmat selera makan pun Allah tarik sebentar. Dan kadang-kadang ada juga yang Allah uji dengan nikmat selera yang bertambah ketika sakit tetapi kita tak boleh untuk makan. Ujian yang Allah hadirkan kepada kita untuk menguji, samaada kita sabar ataupun tidak.

"Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang SABAR"

Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara:
-Muda sebelum tua
-Kaya sebelum miskin 
-Lapang sebelum sempit
-SIHAT sebelum SAKIT
-Hidup sebelum mati


Hospital Diary-3


Ada seorang pesakit lelaki dalam lingkungan 70an. Pak Cik HMA. Sudah 9 bulan terlantar di rumah dan baru sekarang dibawa ke hospital.
Tangannya kecik, kakinya halus. Tiada isi. Yang tinggal hanya tulang. DR arahkan untuk tube dipasang kepada pesakit untuk dimasukkan susu.
Pertama kali pandang Pak cik itu, hati rasa rindu, hati rasa sayu. Teringat pada arwah Tok Wan Ahmad dan Wan Khalib. Kedua-dua atuk saya dah tiada. Arwah Tok Wan Ahmad tak pernah saya jumpa, tapi Umi selalu cerita.
Bertuah pak cik HMA. Setiap masa 2 orang cucu lelakinya sentiasa bersama. Mereka yang bancuhkan susu, mereka yang lapkan badan. Mereka yang teman sepanjang malam.
*********************************
Rindu arwan Tok Wan dan Wan. Al-Fatihah.


Hospital Diary-2


Satu referral dari ICU. Patient is Hypokalemia secondary to poor oral intake.

Kaki melangkah masuk ke ICU yang terletak di aras 1. Senyuman dan salam buat nurse yang sentiasa tersenyum walaupun penat. Kerusi ditarik dan file no 4 dicapai. Helaian dibahagian hadapan dibaca berulang kali. Oh ok, Tengku ....., kerabat rupanya. Helaian-helaian seterusnya terus diselak dan dibaca.

Setelah selesai, kaki melangkah masuk ke bilik no 4. Terlihat sekujur tubuh yang sangat kurus terbaring kesejukan di atas katil. Disebelah kiri katil, ada sebuah rak dan diatasnya ada sepinggan roti dan secawan air teh. Masih tak berusik walaupun jam sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi.

Fail diletakkan dimeja hadapan, dan tangannya aku pegang. Sejuk.

"Mak Engku, mak engku nak makan?" .

Dia memandang dan mengangguk, "Nak, nak, lapar".

Roti yang belum berusik aku ambil, dan aku cubit sedikit lantas aku suapkan padanya. Dia mengulum lama roti tersebut sebelum dapat menelannya. Kondisi di saat berusia 80 tahun lebih dan tiada gigi dia hanya mampu mengulum dan menelan. Roti disuapkan lagi dan diselang-selikan dengan air.

Sambil menyuapkan roti, aku bertanya pada pesakit, "Mak Engku, kalau saya tukarkan nasi kepada bubur yang dicampur dengan lauk dan sayur, Mak Engku nak tak? Nanti lagi mudah Mak Engku nak makan".

Sepasang mata redupnya memandang kearahku, "Nak bubur, nak bubur, lapar".
Aku tersenyum, "Nanti tengah hari InsyaAllah kita bagi bubur ya".
Dia mengangguk dan tersenyum.

Bersambung......

***********************************************************************************


Tugas kita hanya bukan sekadar ukhrawi, tapi yang utamanya, manusiawi.



SIAPA SAYA

My photo
Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Malaysia
Puteri sulung dan tunggal kepada Encik Hamali dan Puan Munirah. ::TASKI ABIM:: ::SEK KEB TASEK GELUGOR:: ::SEK MEN SAINS RAJA TUN AZALAN SYAH(SERATAS):: ::ALLIED HEALTH SCIENCES, CFSIIUM:: :: BACHELOR OF DIETETICS IIUM '11-'15
SAYA SAYANG ANDA SEMUA KERANA ALLAH

MEREKA KATA....

Get widget here

Blog Archive