Saturday, May 23, 2015

Hospital Diary-14



Pagi itu seperti biasa naik ke wad. Wad pertama yang saya masuk adalah wad lelaki. Hajat dihati ketika itu nak melawat pak cik HMA (rujuk hospital diary 3 dan hospital diary 10) , untuk melihat kadar penerimaan pak cik HMA terhadap susu yang baru, setelah minggu sebelumnya saya tukarkan susu kepada susu untuk pesakit diabetes.

Saya lihat katil yang selalu pak cik HMA guna di bahagian hadapan wad, kosong. Mungkin pak cik HMA ditukarkan ke katil yang lain. Saya pergi ke sudut jururawat dan periksa satu persatu nama pesakit di dalam wad tersebut. Cuba untuk mengenal pasti di mana pak cik HMA dipindahkan. TIADA. Nama pak cik HMA tiada. Pada ketika itu saya cuba berfikiran positif. Mungkin pak cik HMA sudah dibawa pulang. Atau mungkin juga pak cik HMA dipindahkan ke Hospital Kuantan untuk pantauan yang lebih teliti.

Saya beralih ke bahagian belakang wad. Menjenguk pak cik Z. Membaca nota DR tentang pak cik Z, tapi hati dan fikiran tertanya-tanya dengan pak cik HMA. Kepala asyik berfikir, ke mana perginya pak cik HMA?

Tiba-tiba ada seorang staff lelaki lalu. Mungkin kerana melihat dahi saya tengah berkerut dan seakan-akan mengelamun, dia menegur.

“Termenung jauh nampak. Siap berkerut dahi lagi. Ada masalahka?”

Saya memandang ke arahnya dan terus bertanya, “Pesakit katil 10, pak cik HMA tu mana? Ada nampak dia tak? Pergi cari dekat katil tadi tak ada. Katil kosong.”

Staff lelaki tadi memandang ke arah saya dan menjawab, “Oh pesakit tu, dah meninggal subuh tadi.”

Dan saya terkesima.

Al-Fatihah untuk pak cik HMA. Moga syurga buatmu pak cik.


****


“Dan milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan hanya kepada Allah segala urusan dikembalikan” (Ali Imran: 109)

(Allah berfirman), “Di sana kamu hidup, di sana kamu mati, dan daripada sana (pula) kamu akan dibangkitkan.” (Al-A’raf: 25)

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.” (Al Anbiya’: 35)



No comments:

SIAPA SAYA

My photo
Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Malaysia
Puteri sulung dan tunggal kepada Encik Hamali dan Puan Munirah. ::TASKI ABIM:: ::SEK KEB TASEK GELUGOR:: ::SEK MEN SAINS RAJA TUN AZALAN SYAH(SERATAS):: ::ALLIED HEALTH SCIENCES, CFSIIUM:: :: BACHELOR OF DIETETICS IIUM '11-'15
SAYA SAYANG ANDA SEMUA KERANA ALLAH

MEREKA KATA....

Get widget here

Blog Archive